SEJARAH PENUBUHAN AFATS

Sekolah yang juga dikenali sebagai Armed Forces Apprentice Trade School (AFATS) yang di tubuhkan pada 1 April 1968 adalah cetusan  minda   Allahyarham Tun Abdul Razak  Timbalan  Perdana Menteri  merangkap  Menteri  Pertahanan  Malaysia  pada 
ketika itu.

Kini setelah lebih 40 tahun berlalu lepasan sekolah yang telah mengalami perubahan daripada segi struktur dan wawasan sekolah telah menyaksikan pelbagai perkembangan dan natijah yang dilahirkan oleh sekolah berkenaan. Semasa sekolah perantis mula dibuka, ia adalah untuk memberi peluang kepada anak-anak muda belasan tahun untuk menjalani latihan akademik, teknikal dan ketenteraan bagi melayakkan mereka untuk berkhidmat di dalam perkhidmatan teknikal Angkatan Tentera Malaysia. 

Tawaran diberikan untuk belajar di SPPAT diberikan melalui surat edaran ke seluruh sekolah di Malaysia bagi mereka yang baru sahaja mengambil Sijil Rendah Pelajaran (SRP) atau Lower Certificate of Education (LCE) pada masa itu yang baru memasuki Tingkatan 4.

Calon akan dipanggil untuk ditemuduga di lokasi sekolah iaitu di Kem SiRusa Port Dickson bagi menjalani ujian akademik, fizikal dan pemeriksaan kesihatan dan hanya calon-calon yang berjaya yang akan dipanggil untuk meneruskan pelajaran di SPPAT. Mereka yang lulus diterima masuk ke SPPAT untuk menjalani kursus pengajian selama 3 tahun yang menekankan pelajaran Bahasa Inggeris pada tahun pertama kerana pada masa itu bahasa yang digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah itu adalah Bahasa Inggeris.

Lokasi asal semasa penubuhan SPPAT adalah bersebelahan dengan Sekolah Jurutera Letrik dan Jentera (JLJ) di Kem Si Rusa Port Dickson dan pentadbirannya adalah di bawah kelolaan Sekolah JLJ. Pengambilan pertama terdiri daripada 60 orang perantis pada tahun 1968 dan mereka berjaya menamatkan kursus selama 3 tahun pada 3 April 1971 dan latihan selama 3 tahun berlangsung sehingga perantis pengambilan ke-10 sahaja.

Mulai pengambilan ke -11 perantis hanya mengikuti kursus selama 2 tahun sahaja namun kurikulum yang dilaksanakan adalah seperti apa yang dilaksanakan untuk perantis yang mengambil Kursus selama 3 tahun. Pada awal tahun 1982 sekolah telah dipindahkan ke Kem Segenting, Batu 10 Port Dickson kerana jumlah pengambilan perantis telah ditambah dan bagi menampung pertambahan bilangan peserta kursus, satu lokasi baru diperlukan untuk memenuhi tujuan berkenaan. 

Pada tahun 1987 pihak TLDM dan TUDM tidak lagi mengambil anggota SPPAT sebagai juruteknik kerana kedua-dua perkhidmatan telah menubuhkan institut teknikal mereka sendiri. Justeru itu pada 12 Ogos 1988 nama sekolah ini telah ditukar kepada Sekolah Pertukangan Perantis Tentera Darat (SPPTD) dan melatih perantis untuk Tentera Darat sahaja khususnya Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja (KJLJD). Pada tahun 1994, SPPTD telah berpindah ke tempat asalnya di Kem SiRusa dan berada di bawah pentdbiran dan pengurusan Institut Kejuruteraan Tentera Darat (IJED).

Bermula tahun 1968 sehingga 1997 anggota perantis telah mengambil peperiksaan Malaysian Certificte of Eductaion dan kemudiannya Sijil Pelajaran Malaysia. Walau bagaimanapun, pada tahun 1978 hingga tahun 1981 atas keputusan yang diambil oleh Mesyuarat Jawatankuasa Ketua Turus Angkatan Tentera, ia telah tidak membenarkan anggota perantis menduduki peperiksaan SPM. Namun ramai perantis yang dengan inisiatif sendiri telah mengambil peperiksaan SPM secara persendirian dan pada tahun 1982 anggota perantis telah dibenarkan semula untuk menduduki peperiksaan SPM.

Sehingga tahun 1992 latihan sepenuhnya bagi pelajar SPPTD adalah di bahagikan kepada Peringkat Pertama (20 bulan) , Perantis dilengkapkan dengan persediaan SPM/SPMV dan Peringkat Kedua (4 bulan) , Perantis dilatih dalam bidang ketenteraan asas merangkumi silibus rekrut. Mulai tahun 1992 latihan bagi perantis SPPTD telah dilaksanakan secara integrasi iaitu perantis perlu menduduki peperiksaan SPM dan pada masa yang sama, perantis juga mengikuti kurikulum latihan ketukangan JLJ dalam dalam tred Auromotif, Elektronik dan Mekanikal. Perantis yang menamatkan sesi akdemik dan ketenteraan akan memilik kelulusan sijil SPM, keterampilan dalam Sijil Kemahiran Tentera Malaysia setaraf dengan tred dalam Kor JLJD dan menjadi tentera yang terlatih.

Bermula pertengahan 2003, IJED telah mengadakan program Diploma Teknologi dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan hanya perantis yang mendapat sekurang-kurang 5 kredit dalam SPM yang layak mengikuti program tersebut. Di samping itu para perantis juga berpeluang untuk megikuti Kursus Kejuruteraan Avionik dan Kejuruteraan Aeronautikal di Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dan seterusnya berkhidmat sebagai juruteknik pesawat.

Pada 14 Julai 2001, Menteri Pertahanan Datuk Seri Najib Tun Razak telah merasmikan SPPTD dan MTD sebagai salah sebuah Sekolah Bestari di bawah Kementerian Pertahanan sebagai pelengkap kepada aplikasi perdana Sekolah Bestari di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. 
Konsep yang dilaksanakan adalah mirip kepada Sekolah Bestari Perdana kecuali ia lebih condong dan memberi tumpuan kepada subjek teknikal serta sains dan teknologi dan ia merupakan projek yang dilaksanakan dengan kerjasama British Aerospace Engineering (BAE) dari United Kingdom.Bermula pada 2009, SPPTD telah mengaplikasikan program pembelajaran Mata Pelajaran Aliran Vokasional (MPAV) dan SPPTD telah menjadi sekolah peneraju dalam mengaplikasikan MPAV sepenuhnya.

ULANGTAHUN 40 TAHUN PENUBUHAN

Produk terbaru terserlah dengan satu perbarisan sempena tamat latihan perantis siri 40/2007 telah berlangsung di Institut Kejuruteraan Tentera Darat Kem Kampung Sawah Port Dickson pada 18 April 2009 sebagai menandakan usia SPPTD yang kini melebihi 40 tahun.

Panglima Logistik Tentera Darat, Mejar Jeneral Dato' IR Mohd Salim bin Ali telah mengambil tabik hormat dan memeriksa perbarisan yang terdiri 250 perantis dan menyampaikan amanatnya agar mereka meneruskan usaha untuk meningkatkan keterampilan mereka di dalam perkhidmatan tentera.

Setelah 40 tahun berlalu, perantis yang pada mulanya dilahirkan oleh SPPAT dan kemudiannya SPPTD telah menunjukkan keterampilan masing-masing dan generasi awal perantis telah mencapai peringkat hingga ke pangkat jeneral di dalam Tentera Darat dan Tentera Laut. Ramai yang telah menamatkan perkhidmatan di dalam tentera dan sebahagian besar terlibat di dalam bidang perniagaan dan masing-masing berbangga kerana menjadi bekas perantis yang pernah dididik oleh tentera. 

Kini bekas perantis mempunyai persatuannya sendiri yang dikenali dengan nama Persatuan Bekas Perantis Putera SPOPAT/SPPTD yang diketuai oleh Dato Hj Kamarudin Janis sebagai presidennya dan di bantu oleh Kol Hj Radzi Ibrahim sebagai Timbalan Presiden.

Tujuan penubuhan persatuan adalah untuk menyatukan bekas perantis baik yang telah bersara atau masih berkhidmat dengan tentera bagi mengeratkan silaturrahim di antara bekas perantis di seluruh negara.

SPPAT dan kemudiannya SPPTD telah melakarkan sejarah dalam bidang sukan ragbi baik di peringkat daerah Port Dickson mahupun di peringkat Angkatan Tentera dan ini diakui oleh bekas jurulatih ragbi JLJ Dato Hj Kamaludin Saidon. Perantis bukan sahaja menunjukkan keterampilan mereka di dalam bilik darjah dan medan latihan ketenteraan tetapi juga dibidang sukan dan ia terus menjadi trade mark SPPAT/SPPTD sehingga hari ini.

Setelah 40 tahun berlalu, dengan pencapaian dan jumlah produk perantis yang dilahirkan baik yang masih berkhidmat dengan tentera atau yang sedang menjalani kehidupan awam, tentera seharusnya akur dan mengakui bahawa hasil didik mereka sebenarnya telah berjaya membina manusia yang bergelar insan. Sama ada bekas perantis itu memakai uniform atau berpakain awam, mereka adalah testimoni unggul sistem yang pernah diilhamkan oleh Allahyarham Tun Abd Razak pada 1968, dan legasi ini perlu dipertahankan.

Sumber dari Intake 24 freewebs.com


No comments:

Post a Comment